Ketika Dan Kalimat

Assalamualaikum..


Sebenarnya, tak tahu nak mula daripada mana. Sebab banyak sangat kalau nak diceritakan benda yang berlaku sepanjang satu semester ni. Apapun akanku cuba megimbau kembali kejadian, peristiwa atau suasana yang terlintas di fikiranku yang agak kacau semenjak dua menjak ni..huhu.


Emm..masa mula-mula dapat tahu yang Dr.Normaliza yang akan menggantikan kelas Dr.Normahdiah sepanjang semester nih, perasaan aku dah mula gundah-gulana. Mana taknya, daripada cerita yang aku dengar daripada kengkawan yang dah amik subjek ni sem lepas pun aku dah mula kecut perut, inikan pula nak berguru dengannya selama satu sem..memang menangis la. Dengar cerita orangnya sangat garang..huhu. Tapi ternyata persepsi yang wujud dalam pemikiran aku selama ni ternyata meleset sama sekali. Itulah orang kata ‘don’t judge a book by its cover’. Rupanya, beliau tidaklah segarang yang disangkakan. Selama satu sem ni, aku tak pernah tengok lagi beliau marah pelajarnya tanpa sebab. Cuma tengking-tengking sikit tu biasalah. Takde salahnya kalau benda tu sekadar nak mengajar dan menegur kesalahan pelajarnya.


Selama satu sem ni, walaupun agak tertekan dengan kelas Bahasa Dalam Multimedia ni, namun input yang aku dan kengkawan dapat memang banyak. Aku setuju sangat dengan kata-kata ‘pengalaman tu paling berharga daripada segala-galanya’. Memang betul, banyak pengalaman pahit manis yang aku peroleh sepanjang menuntut subjek ni yang tak mungkin aku boleh beli dengan wang ringgit.


Bila masuk je kelas Multimedia ni, otakku mula ligat berfikir dan berteka-teki. Terbayang-bayang apalah pula aktiviti yang kami kena buat kali ni. Maklumlah, Dr. selalu kata “saya nak ajar awak bekerja dalam tekanan”. Inilah kalimat yang akan aku semat dalam kotak pemikiranku sampai bila-bila. Jadi memang setiap kali kelasnya, memang aku akan rasa tertekan kerana segala-galanya memerlukan kepantasan kita bertindak dalam segala hal. Pendek kata, segala-galanya perlu cepat. Kadang-kadang terasa gak yang kitorang ni masuk kelas bahasa dalam multimedia ke atau kelas ketenteraan..huhu.


Emmm...aktiviti pertama kitorang semasa mengikuti kelas ni ialah membuat kolaj. Aktiviti ni boleh dikatakan agak mencabar jugak kerana ianya menuntut kekreatifan anggota setiap kumpulan untuk menghasilkan majalah sendiri dengan konsep lain daripada yang lain. Bayangkan kitorang kena siapkan majalah nih dalam tempoh satu setengah jam..memang haru jugaklah dibuatnya. Namun berkat usaha gigih dan kesabaran ahli kumpulan menggunting dan menampal keratan akhirnya siap jugak benda tu.


Satu perkara yang uniknya masa belajar dalam kelas bahasa dalam multimedia ni ialah pelajar tak payah susah-susah nak salin nota. Kami sebaliknya digalakkan untuk mengambil gambar slide yang dipaparkan menerusi komputer. Sepanjang tiga tahun aku menuntut disini, inilah kali pertama aku berhadapan dengan situasi yang aneh ini. Kata Dr. nak tunggu kitorang salin nota kat depan tu, memang buang masa. Jadi beliau suruh aje tangkapkan gambar slide tersebut bagi menjimatkan masa.


Selain daripada kelas kuliah, subjek ni juga mewajibkan pelajarnya mengikuti kelas tutorial. Aku memilih kelas tutorial pada hari Rabu iaitu pukul 8 malam. Kelas tutorial pada waktu tu Cik Nurul yang ajar. Sengaja aku pilih hari tu kononnya senang untuk balik kampung pada keesokkan harinya. Alih-alih aku jugak yang terseksa nak kejar masa untuk sampai ke kelas sebelum pukul 8. Pernah satu ketika, sama sekali aku tidak menyangka yang hari tu, Dr datang untuk memeriksa perkembangan sewaktu kelas tutorial. Waktu tu aku dan kawanku terlewat lebih kurang 5 minit. Bukannya sengaja kami datang lewat, maklumlah duduk pula kolej yang lain daripada bebudak yang lain, jadi agak susah jugaklah untuk mendapatkan pengangkutan. Apa lagi, terkial-kiallah kami membuat pantun lain daripada yang lain sebagai denda.


Walaubagaimanapun, waktu kelas tutorial adalah masa yang paling ditunggu-tunggu. Maklumlah boleh guna komputer kat lab tu. Sambil buat kerja tu, sambil guna internet, download ape-ape yang patut skit..hehe. Orang kata, sambil menyelam minum air. Nak harapkan internet kat bilik tu, dah macam hidup segan mati tak mahu la pulak. Punyalah susah nak dapatkan internet kat bilik. Nama aje dah dapat wireless, tapi perkhidmatan memang hampeh..


Tugasan pertama yang menanti kami sewaktu kelas tutorial ialah membuat slide menggunakan Microsoft Powerpoint. Tajuk yang dibuat juga adalah bebas dan kami semua dikehendaki memasukkan unsur muzik semasa pembentangan slide. Alhamdulillah, masa nak present, semuanya berjalan lancar. Cuak jugak aku sebab sebelum tu ramai gak kengkawan yang present tak keluar lagu.




Tugasan seterusnya ialah membuat kalendar dengan menggunakan Adobe Photoshop. Huh, nilah pertama kali aku kenal dengan benda ni. Sebelum ni, seronok tengok orang lain duk mengedit gambar guna benda alah ni. Sekarang baru ada peluang untuk belajar. Dan baru aku tahu betapa susahnya nak memahirkan diri menggunakan adobe photoshop ni. Kalau agak-agak tahap kesabaran tu senipis kulit bawang, memang tak boleh khatam benda alah ni. Silap-silap boleh sakit jiwa dibuatnya. Hampir empat minggu berputih tulang, bersengkang mata mengadap komputer cabukku semata-mata untuk menghasilkan sebuah kalendar sendiri.


Pernah satu ketika, waktu kelas tutorial, Cik Nurul, tutor kami tak dapat hadir, jadi yang menggantikan tempat beliau ialah Cik Alia. Orang kata beliau ni garang, tapi setelah dia masuk kelas tutor kami, rupa-rupanya takdelah segarang yang disangkakan. Masa beliau check kalendar yang aku buat, banyak gak yang aku sendiri kena komen..huhu.


Masih kuingat pagi sebelum nak hantar soft copy untuk diprint, aku dapat tau yang saiz yang kitorang buat tak boleh diprint. Kalau diprint jugak, maka tak menariklah kalendar kami. Apa lagi, macam lipas kudung aku dan kawanku berlari balik untuk betulkan balik mengikut saiz sebenar. Nasibku agak baik kerana kebanyakan gambar tidak terlalu lebar setelah ditarik ke saiz yang sepatutnya. Keseluruhannya, aku berpuas hati dengan hasilnya walaupun sedikit kecewa dengan masalah yang dihadapi pada saat-saat akhir.


Masa kuliah Dr. kami sentiasa diingatkan agar sentiasa bersedia kerana susah kita nak jangkakan apa yang akan disuruh oleh Dr setiap kali kelasnya. Hari tu Dr. menyuruh kami untuk mengambil gambar di sekitar kawasan fakulti. Gambar yang kena ambil pula bukannya gambar sembarangan macam yang kita selalu duk posing tu. Kata Dr. gambar tu mesti ada seninya sendiri, ambil dari sudut yang menarik dan sebagainya. Kalau orang yang ambil subjek fotografi, memang makanannya lah ni. Tapi bagi kami yang ambik bahasa, fuhh..kejang seluruh otot nak posing baik punyer..


Disebabkan ramai antara ahli kumpulanku yang memakai baju kurung termasuklah aku, sesi penggambaran kami terpaksa dihadkan kerana amat susah sekali nak berposing dalam keadaan macam tu. Takkan kena kontrol je sepanjang ambik gambar, nanti nampak sangat tak natural..huhu.

Hari penggambaran terpaksa kami buat pada hari yang lain iaitu pada cuti hujung minggu. Nasib kami baik sebab tak ramai orang yang duduk kat fakulti. Jadi, kami bebas nak posing macam mana dan dekat mana pun, orang tak peduli sebab memang takde orang pun. Dalam banyak-banyak gambar, time kitorang kena melompatlah yang paling susssah skali nak buat. Mana taknya, kena amik gambar time kitorang duk di udara. Bayangkan betapa susahnya orang yang kami suruh tangkapkan gambar tu nak kena shotkan aksi tu. Berpeluh-peluh dah macam senaman berat la pulak rasanya, padahal nak amik gambar melompat tu jer..huhu. Last-last, setelah beberapa kali kami dipaksa melompat oleh jurugambar tak bertauliah tu, dia pulak yang putus asa. Nak tak nak terpaksalah kami terima gambar terakhir yang menunjukkan kaki kami hanya sedikit terawang-awang sebagai bukti kami berusaha untuk melompat.


Masa presentation adalah masa yang dinanti-nantikan. Bukannya apa, seronok tengok orang lain posing. Macam-macam gaya ada. Ditambah pulak dengan diiringi muzik yang rancak, memang bertambah menariklah persembahan multimedia yang dibuat. Semuanya berusaha untuk mempamerkan aksi yang terbaik untuk dipertontonkan kepada khalayak.


Selain Dr. Normaliza, kelas Bahasa Dalam Multimedia ini juga diajar oleh Dr. Arbaie. Sepanjang sesi kuliah di dalam kelas, seingat aku hanya tiga atau empat kali sahaja beliau berkesempatan untuk mengajar kami. Orangnya kadang-kadang agak kelakar dan bicaranya sememangnya amat mendalam sekali. Jika ada yang membuat salah, beliau tidak terus marah, tapi menyatakannya secara berhemah. Sekali terkena, pedasnya memang terasa dari hujung kaki ke hujung rambut. Itulah yang membuatkan aku kagum dengan sikapnya itu sesuai dengan jawatan yang dipegangnya.


Tugasan pertama kali yang diberi Dr Arbaie kepada kami ialah membuat papan cerita. Melalui contoh yang ditunjukkan, kami hampir tergamam melihatkan hasil kerja yang dipaparkan. Tidak pernah aku melihat, misalnya kita boleh membaca e-komik yang dihasilkan sebijik macam komik biasa. Itulah kecanggihan dan kepakaran orang zaman sekarang memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat. Teruja jugak aku untuk menghasilkan buku cerita macam yang ditunjukkan tu.


Tapi bila mengenangkan proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan benda tu, sedikit-sebanyak hatiku mula beralih arah. Betul, memang susahnya nak dapatkan hasil yang terbaik. Ini terbukti melalui tugasan yang diberikan iaitu membuat papan cerita bertemakan Tsunami. Maka berhempas-pulas lah kami mencari idea untuk dibuat jalan cerita. Setelah siap jalan cerita, kami perlu melakarkan lukisan peristiwa atau kejadian tersebut bagi membolehkan orang lain dapat menangkap maklumat yang ingin disampaikan melalui gambar tersebut. Bayangkan, dahlah masa subjek lukisan waktu sekolah muda-muda dulu, tak pernahnya dapat A*, inikan pulak nak melukis untuk tatapan pelajar universiti dan jugak pensyarah..

Namun itu semua bukanlah halangan kepada kami untuk tidak terus berusaha. Berkat kesabaran semua ahli kumpulan, siap jugak hasil kerja kami. Malangnya, pada waktu kelas Dr yang selepas itu, teruk kami semua dikritik. Apa tidaknya, contoh yang diberikan itu jugaklah yang diambil oleh pelajar. Nampak sangat kitorang ni dah kekurangan idea dan tiada kreativiti. Memang padanlah kami kena marah..huhu.


Pengalaman yang paling tidak dapat kulupakan ialah sewaktu kami dikehendaki membuat kerja kebajikan di rumah anak-anak yatim. Setiap rumah anak yatim pula hanya diterhadkan untuk dua kumpulan saja. Kumpulan aku dan sebuah lagi kumpulan telah memilih rumah anak-anak yatim iaitu Kompleks Kebajikan Ruqaiyah di Bangi, Selangor. Maka bermulalah suatu misi besar yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Perlantikan ahli jawatankuasa telah dibuat di mana setiap orang mempunyai tugas masing-masing bagi memudahkan pentadbiran. Setelah berpuas hati dengan kertas kerja, kami membuat perjanjian dengan Dr. Malangnya, beberapa kali kami terpaksa menunda pertemuan kerana kesibukan kedua-dua belah pihak. Akhirnya, setelah dua minggu terbengkalai, kami berjaya juga bertemu dua belas mata dengan Dr. Setelah dikritik hampir sejam bertapa dengan Dr, kertas kerja kami diluluskan jua.


Tanggal 22 Mac 2009, kami bertolok ke KKR dengan tiga buah kereta seawal jam 7.30 pagi. Jalan raya tidaklah sesibuk yang disangkakan membuatkan tempoh perjalanan kami agak singkat iaitu lebih kurang 15 minit untuk sampai ke destinasi. Sesampai sahaja di sana kami di sambut oleh Cikgu Man, orang yang bertanggungjawab menjaga anak-anak yatim di situ. Mula-mula tengok beliau, aku ingat dia ni tegas, tapi bila dah sekali bukak mulut, mahu pecah perut dibuatnya. Orangnya agak kelakar dan sangat sopan. Kami diperkenalkan dengan kesemua anak yatim disitu iaitu seramai 24 orang. Kesemuanya berumur dalam lingkungan 9 hingga 15 tahun. Sesi berkenalan antara kami dengan anak-anak yatim berjalan lancar. Kebanyakan daripada mereka mudah menyesuaikan diri dengan kami. Mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan kunjungan banyak pihak sebelum ni membuatkan mereka mudah mesra dengan sesiapa saja.


Aktiviti pertama kami pada pagi itu sepatutnya dimulakan dengan senaman tarian poco-poco. Walaubagaimanapun demi menghormati permintaan pihak pengurusan, aktiviti itu terpaksa dibatalkan saat-saat akhir. Kami menggantikannya dengan mengadakan senaman pagi untuk memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti gotong-royong. Untuk aktiviti gotong- royong ini, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan setiap kumpulan dipantau oleh akak-akak fasi ni. Setiap kumpulan pula diarahkan untuk membersihkan kawasan-kawasan yang telah ditetapkan disekitar kompleks tersebut. Antaranya ialah kawasan belakang kompleks, dalam surau, dalam dorm dan banyak lagi. Sebelum tu, kami difahamkan kompleks ni telah ditutup selama dua minggu sempena cuti sekolah. Jadi bayangkan, dalam tempoh tu berapa banyak sampah daripada daun-daun kering yang gugur di samping semak-samun yang kalau berdiri disitu pun boleh tak nampak. Namun semua tu tak menjadi masalah kepada kami. Menariknya, aktiviti ini turut disertai oleh Cikgu Man yang membuatkan penat kami tak terasa disebabkan bicaranya yang mencuit hati. Setelah hampir dua jam iaitu ketika matahari hampir tegak di atas kepala, barulah kami berhenti melakukan kerja-kerja pembersihan.


Kami menyediakan bekalan makanan berupa sebungkus roti berkrim dengan sekotak air mineral untuk setiap anak-anak yatim tersebut. Perasaan aku tersentuh bila melihat kesungguhan mereka makan makanan tersebut bagi melepaskan penat yang bertandang. Terlintas jugak di fikiran, adakah kita pernah bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah terhadap kita sedangkan ada lagi orang lain yang bersusah-payah untuk mendapatkan sesuatu berbanding dengan kita.


Selesai minum tengah hari, mereka dihidangkan dengan tayangan multimedia yang antara lainnya untuk memperkenalkan suasana persekitaran di Universiti Putra Malaysia, universiti kesayangan kami terhadap anak-anak yatim tersebut. Aku tengok ramai antara mereka yang seronok melihat tayangan tersebut dan menanyakan beberapa soalan berkaitan universiti ni. Bersungguh-sungguh kami menerangkan sedikit sebanyak tentang pengalaman kami sepanjang belajar di universiti. Bukannya apa, sekadar untuk menyuntik semangat mereka untuk belajar dengan lebih gigih supaya mereka juga turut berpeluang belajar di menara gading sekalipun mereka tidak mempunyai keluarga untuk menyokong mereka daripada belakang.


Seterusnya, habis sahaja tayangan multimedia, mereka sekali lagi mengisi perut dengan makanan tengah hari. Sementara mereka tengah makan, kami seramai dua belas orang pula keluar mencari kedai makan terdekat bagi mengisi perut yang rancak berkeroncong. Dekat kawasan tu, susah nak cari kedai makan, yang ada hanya sebuah sahaja. Jadi pada waktu lunch macam ni, memang kedai tu menjadi tumpuan utama penduduk di situ. Tak hairanlah harga yang dikenakan juga agak mahal berbanding di kedai lain. Selesai makan, kami kembali semula ke rumah anak yatim. Kami menunaikan solat Zohor berjemaah bersama-sama anak-anak yatim. Tatkala ini, sekali lagi hatiku tersentuh mengenangkan sudah lama aku tidak berpeluang berjemaah dengan ahli keluarga yang jauh di mata. Sekurang-kurangnya bila bersama dengan mereka, terubat sedikit kerinduan terhadap emak, ayah dan adik-adikku...huhu.





Aktiviti yang menanti mereka selepas sahaja selesai solat ialah pertandingan mencipta nama, lambang, motto serta cheers kumpulan masing-masing. Maka, terbongkok-bongkoklah mereka melukis dan mewarna serta memerah otak memikirkan nama kumpulan yang kreatif. Kumpulan yang aku pantau pada mulanya agak slow skit, tapi selepas diberi kata-kata perangsang dan membandingkan dengan kumpulan lain, terus mereka jadi bersemangat untuk bersaing. Sewaktu mereka ketandusan idea untuk membuat cheers kumpulan, aku dan kawanku terfikir apalah salahnya kalau kami cedok skit cheers kolej yang boleh menaikkan semangat sesiapa sahaja yang mendengarnya..hehe. Setelah bersusah payah membantu mereka menukar lirik, aku dan kengkawan mula mengajar mereka step untuk cheers tersebut. Mujurlah mereka dapat tangkap dengan cepat step kami dan hasilnya sungguh memuaskan.


Selesai sahaja tugasan yang diberi, mereka ini dikehendaki untuk membentangkan hasil kerja yang dibuat. Bermacam-macam ragam aku tengok semasa diorang tengah present . Semuanya mencuit hati. Namun ada sesetengahnya yang mampu berkomunikasi dengan baik sewaktu membentangkan kerja mereka. Inilah yang mengagumkan aku dan kengkawan. Sesi pembentangan telah selesai dan pemenang yang berjaya meyakinkan juri dengan pembentangan yang menarik juga telah dipilih.


Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan latihan tatabahasa yang menguji kecekapan mereka menggunakan tatabahasa yang betul dalam ayat. Aku dan kawanku ditugaskan untuk memantau 3 orang yang semuanya berumur 11 tahun. Setelah diperiksa, aku mendapati ada sesetengahnya yang masih tidak dapat menguasai penggunaan tatabahasa yang betul. Pendek kata, mereka menjawab soalan mengikut bahasa perbualan dan tidak bersandarkan fungsi perkataan tersebut. Jadi kesempatan yang ada, aku gunakan untuk menerangkan serba sedikit tentang perbezaan serta penggunaan pelbagai jenis kata mengikut tatabahasa yang betul. Aku dapat lihat wajah mereka agak kehairanan dengan peneranganku. Mungkin sebelum ini mereka tidak ajar secara jelas dan mendalam membuatkan mereka agak keliru. Aku menasihatkan mereka supaya selalu membuat latihan tatabahasa agar mereka tidak ketinggalan memandangkan zaman sekarang menyaksikan transformasi yang agak luar biasa terhadap bahasa kebangsaan, bahasa Melayu.


Latihan tatabahasa tidak hanya berakhir setakat itu. Aktiviti beralih kepada permainan siber yang mana mereka dikehendaki menyelesaikan teka silang kata dalam masa yang agak singkat. Permainan yang sungguh menarik ini memerlukan mereka cekap menggunakan laptop kerana jika tidak, masa akan tamat begitu sahaja sekiranya mereka terkial-kial menekan papan kekunci. Dari cara mereka mengendalikan laptop, aku dapat lihat ada sesetengahnya yang baru mengenali laptop kerana mereka tidak tahu dimana hendak menekan huruf. Namun, ada juga yang sudah mahir menggunakannya. Pada mulanya hanya tiga orang sahaja yang bermain permainan ini, tapi kerana suasana yang agak bising dengan sorakan mereka, jumlahnya makin bertambah kerana tertarik dengan permainan tersebut.


Di samping permaianan tersebut, ada satu lagi perisian yang membantu mereka menyebut perkataan dengan betul dan tepat. Sistem ini juga menyediakan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris dan Perancis supaya mereka dapat mempelajari cara-cara sebutannya. Perisian ini sangat menarik dan kadang-kadang agak melucukan apabila perkataan yang ditaip disebut dengan nada yang berlainan.


Setelah tamat latihan tatabahasa, kami mengadakan permainan bola beracun bagi menghilangkan ketensenan mereka mengadap buku. Permainan ini sebenarnya adalah kotak beracun, tapi disebabkan kami menggunakan bola pingpong sebagai menggantikan kotak, ia dinamakan bola beracun. Permainannya mudah sahaja dimana mereka dikehendaki duduk dalam satu bulatan dan memegang serta menyerahkan bola tersebut kepada rakan disebelah ketika muzik dipasang. Apabila muzik diberhentikan, mereka yang memegang bola dan tidak sempat menyerahkan kepada rakan sebelah akan diminta untuk ke hadapan dan menjawab soalan. Apa yang menariknya ialah, jika mereka dapat menjawab soalan dengan betul, ada ganjaran yang menanti mereka. Pada waktu ini, tugasku ialah menjaga muzik. Jadi aku berpeluang mengenakan mereka yang aku suka untuk tampil ke hadapan. Malangnya, banyak kali jugak aku terlajak muzik menyebabkan orang lain pulak yang terkena..huhu.


Pernah jugak suatu ketika, ketika sedang dalam permainan, hajatku nak mengenakan sorang budak tu. Apabila aku memberhentikan muzik sewaktu bola beracun tu sampai ke tangannya, cepat-cepat dia melontarkannya ke arah kawan disebelahnya. Tindakannya itu menyebabkan ramai kawan-kawan yang menyuruhnya ke hadapan kerana memang telah terbukti dia yang terkena. Agak lama jugaklah kami memaksanya supaya ke hadapan. Akhirnya dia mengalah. Setelah soalan diajukan, aku tertunggu-tunggu jugak jawapannya. Pada fikiran aku, budak ni takde masalah nak jawab soalan tu sebab berdasarkan latihan tatabahasa yang dibuat sebelum tu, dia ni agak terer sikit berbanding kawan-kawannya yang lain. Tiba-tiba budak tu tunduk dan mengesat matanya dengan lengan baju kurungnya. Lah, dah menangis pulak budak ni. Aku dan kawan-kawan panik sekejap sebelum menyuruhnya duduk semula. Namun dia tidak mengendahkannya. Setelah pengarah memujuk dan mengajukan soalan yang sangat senang kepadanya, barulah dia menjawab dengan betul dan berhenti menangis. Aku terpinga-pinga sekejap dengan situasi tersebut. Namun aku ingatkan diri sendiri supaya tidak terlalu memikirkan perkara tersebut kerana amat susah sekali untuk menyelami hati dan perasaan sebenar mereka.


Suasana permainan semakin gamat dengan usikan Cikgu Man yang tiba-tiba muncul sewaktu permainan hampir di kemuncak. Banyak kali juga dia mengenakan anak buahnya ketika mereka sedang berkira-kira untuk menjawab soalan. Selesai sahaja permainan bola beracun, mereka sekali lagi dijamu dengan minum petang. Kami membekalkan mereka dengan masing-masing mendapat sekotak air soya dan biskut coklat.


Sewaktu masa dah hampir ke penghujungnya, kami menamatkan permainan tersebut. Acara pemberian hadiah dan cenderahati pula mengambil tempat. Setiap daripada anak-anak yatim itu diberikan hadiah yang sama rata. Kami juga menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Cikgu Man selaku wakil pengurusan Kompleks Kebajikan Ruqaiyah.


Sesi yang ditungggu-tunggu ialah sesi bergambar. Kami memilih untuk mengambil gambar di luar memandangkan keadaan di dalam terlalu sempit untuk memuatkan kesemua anak-anak yatim dan kami semua. Selepas itu, kami bergambar pula mengikut kumpulan masing-masing. Selepas bergambar, aku mengambil peluang untuk menemu-ramah anak-anak yatim tersebut. Aku bertanyakan tentang penerimaan mereka terhadap aktiviti yang telah diadakan sepanjang satu hari kami di situ. Kebanyakan daripada mereka memberi respon yang sangat positif dan berseronok sepanjang hari tersebut. Mereka juga meminta kami supaya datang lagi ke situ di lain hari. Hatiku sebak mendengarkan kata-kata mereka. Betapa mereka menghargai kedatangan kami disitu dan dalam masa yang singkat kami seperti berada dalam satu keluarga. Sesungguhnya inilah pengalaman aku yang paling berharga kerana selama ini aku tidak pernah berpeluang bersama anak-anak yatim dan sama-sama merasai kesedihan mereka yang kehilangan keluarga.


Hari yang ditunggu-tunggu tiba jua. Kami dikehendaki membentangkan persembahan audio dan video berkaitan aktiviti yang kami lakukan sepanjang berada di rumah anak-anak yatim tersebut. Setelah berhempas pulas dan bersengkang mata tak tidur malam semata-mata nak siapkan benda ni, akhirnya berjaya juga kami menghasilkan video tersebut menggunakan Movie Maker. Pada mulanya, suasana agak kalut sikit kerana aku dikhabarkan komputer dalam kelas tu tak boleh nak mainkan muzik yang dah kami setkan. Namun, setelah beberapa kali mencuba dan meminta tolong daripada kawan yang lain, perkara itu dapat juga diatasi. Dahlah masa tu, kumpulanku yang pertama dikehendaki membentangkan hasil kerja tersebut. Risau jugak aku takut-takut apa yang kami paparkan tak berjaya menyentuh hati audiens. Tapi, komen daripada Dr. yang memuji persembahan membuatkan kami menarik nafas lega.


Persembahan daripada kumpulan lain juga tidak kurang hebatnya. Hampir menitis air mataku melihatkan keseronokan anak-anak yatim bersama kami dalam menjayakan apa jua aktiviti yang telah dirancang. Kemesraan yang terjalin dalam jangka masa yang singkat bukanlah dibuat-buat. Ianya lahir tulus dari hati yang insaf dengan kekurangan yang ada pada diri sendiri dan juga orang lain. Perasaan itu hadir tatkala aku merenung air muka mereka yang susah untuk digambarkan jika hanya melihat kosong wajah tersebut.


Sebelum mengakhiri bicaraku yang tak seberapa ini, ku ingin memohon maaf sekiranya ada yang terguris atau terkecil hati dengan luahan hatiku ini. Sesungguhnya tiada niat lain yang bertandang di hati melainkan hanya ingin berkongsi pengalaman pahit manis dan suka duka sepanjang aku menuntut ilmu dalam subjek ini.


Akhir kata, terima kasih yang tidak terhingga kepada tenaga pengajar yang bersungguh-sungguh mengajar kami iaitu Dr. Normaliza, Dr Arbaie, Cik Nurul dan Cik Alia yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami. Terima kasih juga kerana memberi peluang kepada kami untuk menyiapkan segala tugasan yang sememangnya meninggalkan kenangan manis dan amat bermakna bagi kami semua..

Novel Dari Dilema Ke Destinasi

Judul : Dari Dilema Ke Destini
Harga : RM20.00
Nombor siri : 1314124
Status Stok: Stok masih ada

Judul : Dari Dilema ke Destini
Pengarang : Arbak Othman
Genre : Novel
Mukasurat : 470 halaman
Cetakan Pertama : 2002

Sinopsis
Novel Dari Dilema ke Destini merupakan sebuah novel sosio-politik dalam konteks sebuah negara merdeka yang sedang meningkat maju dengan pesatnya dalam bidang ekonomi. Pemikiran di dalam novel ini berusaha memenuhi konsep keadilan melalui tindakan politik yang menjana perkembangan mental rakyatnya yang berbilang kaum.
Jalan-jalan keluar yang menyusuri kekusutan yang melanda nasib rakyat berbilang kaum yang terdiri daripada kaum bumiputera dan kaum bukan bumiputera menjadi intisari pemikiran dan tindakan yang terpaku kepada usaha mencari keadilan berdasarkan persepsi agihan dan peruntukan yang dapat menyelamatkan setiap bangsa, agama, kepercayaan dan politik mereka dalam kepompong yang sentiasa sengit dan menyengat itu.
Pembaca sentiasa dibawa ke arena penghidupan yang kusut sebagai peneliti kebenaran falsafah pemikiran yang terkandung di dalam novel ini

Komen Peminat Setia Prof. Madya Dr.Hj Arbak Othman




PROF. MADYA DR. HJ ARBAK OTHMAN

Antara penulis yang saya hormati ialah Prof. Madya Dr. Hj. Arbak Othman. Walaupun beliau terlalu sarat dengan pengalaman, sifat merendah dirinya amat dikagumi. Bicara Tuan Haji (inilah pangggilan yang amat disenangi beliau) begitu lemah lembut dan menggetar sanubari. Beberapa buah buku beliau telah saya miliki termasuk 2 yang terbaharu terbitan 2009. Buku tersebut ialah mengenai teori bertajuk Semiotik dan sebuah lagi buku yang memperkatakan karya-karya Lim Swee Tin menggunakan teori yang dikuasainya.


Sewaktu pertama kali membaca tulisan Tuan Hj Arbak, memang saya menghadapi kesukaran hendak memahaminya kerana terlalu ilmiah (berat?) tulisan-tulisan beliau. Ini termasuklah sajak-sajaknya yang sarat dengan falsafah dan perlambangan. Dan ayat yang saya paling ingat yang dilafaz Tuan Haji ialah “Sekarang tak faham tak apa. Nanti lama-lama fahamlah”.


Sekarang saya sudah mula dapat memahami tulisan-tulisan Tuan Haji yang berat itu. Begitu juga dengan sajak-sajaknya. Dan saya tidak sabar-sabar hendak membaca 2 buku terbaharu Tuan Haji kerana membaca tulisan Tuan Haji seperti dapat dikesani yang Tuan Haji seperti tidak pernah ketandusan ilham untuk terus menulis dan menulis.

Sumbangan Prof. Madya Dr. Arbak Othman

Buku Ilmiah

Antara sumbangan beliau ialah penghasilan 10 buah buku akademik dalam bidang Linguistik dan Tatabahasa; antaranya termasuklah buku yang berjudul Pengantar Linguistik, Teori Linguistik, Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, Pengantar Linguistik Am (bersama Dr. Ahmad Mahmood Munasif) dan Teori Perkamusan (Leksikografi) yang ditulis untuk kegunaan pelajar-pelajar di universiti tempatan. Tatabahasa Bahasa Melayu diterbitkan pada tahun 1981 oleh penerbit Sarjana Enterprise dan Mengajar Tatabahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987.

Selain itu, termasuklah penghasilan sebuah Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti dan lapan buah buku lain untuk kegunaan pelajar sekolah menengah dan pembaca awam. Buku Nahu Bahasa Melayu, Imbuhan Bahasa Melayu dan Cara-cara mempelajari Bahasa Melayu diterbitkan oleh Fajar Bakti pada tahun 1985 dan buku yang berjudul Pengantar Sintaksis yang diterbitkan oleh Sarjana Enterprise pada tahun 1989.

Artikel Dan Rencana

Di samping itu, beliau juga ada menghasilkan artikel dan rencana yang kesemuanya berjumlah 156 buah, kebanyakannya tertumpu pada bidang linguistik dan tatabahasa, aplikasi konsep teori linguistik dalam pengajaran bahasa Melayu, termasuk teori perkamusan.

Puisi

Akhir-akhir ini beliau terlibat dengan kajian dan kritikan puisi yang dibuat berdasarkan pendekatan dan kecenderungan linguistik-semiotik. Beberapa daripadanya diterbitkan dalam Jurnal Dewan Sastera, Jurnal Dewan Bahasa, Majalah Pangsura (Malaysia-Indonesia-Brunei), Jurnal Bahasa, Majalah Akar, Majalah Pemikir (Utusan Melayu Press), majalah Wadah di Sabah, Akhbar Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia, Berita Harian / Berita Minggu dan lain-lain. Antologi puisi pertama yang berjudul Peta Cinta telah diterbitkan oleh Penerbit Pustaka Nusa pada tahun 2001. Penerbit yang sama juga telah menerbitkan sebuah lagi antologi puisi remaja dengan judul Bunga Di Jalan pada tahun 2003, Sinar Masa (2004), Sketsa Kehidupan (2005) dan Suara Gundah Di Bumi Basah (2006) serta Luka Mimpi (2007).

Novel

Novel yang berjudul Dari Dilema Ke Destinasi merupakan novel pertama yang diterbitkan oleh Penerbit Pustaka Nusa pada tahun 2002.
Kegiatan lain termasuklah menulis puisi dan rencana ilmiah, temasuk penglibatan dalam kegiatan sastera tanah air yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan penulis seperti PENA, GAPENA, selain kegiatan bahasa anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan lain-lain.

Penglibatan Prof. Madya Dr. Arbak Othman

Kini, Prof. Madya terlibat dalam bidang telaah teori sastera melalui pembacaan, penasihatan dan teguran daripada pakar-pakar dan para sarjana sastera tanah air yang sudi meluangkan masa untuk maksud menyumbang dan membantu. Hasilnya, beliau berjaya menerbitkan beberapa buah esei kritikan puisi dalam majalah tempatan, terutamanya dalam Dewan sastera, DBP. Baru-baru ini, beliau berjaya menghasilkan sebuah buku kritikan puisi yang berjudul Semiotik Dalam Penelitian Puisi yang diterbitkan oleh penerbit Citra Kurnia Enterprise, Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan pada tahun 2003.

Sekarang ini, Prof. Madya Dr. Arbak terlibat sebagai ahli Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil dan Panel Hakim Hadiah Sastera Negeri Sembilan (PEN). Beliau sering diundang untuk membuat kajian dan penyelidikan untuk analisis antologi puisi oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka daripada berbagai-bagai Cawangan (Selatan, Pantai Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia).

Penyelidikan terakhir yang sedang dijalankan sekarang ialah Nahu Minimalis dan Penerapannya dalam Bahasa Melayu. Dalam bidang pengembangan aplikasi linguistik, beliau berjaya menerbitkan tiga buah kamus terbitan Penerbit Oxford Fajar. Judul ketiga-tiga kamus itu ialah Kamus Pelajar Fajar Bakti (2000-2004), Kamus Komprehensif Bahasa Melayu (2005/2006) dan Kamus Pelajar KBSR (2007). Buku Puisi, Penyair Dan Kreativiti (bersama Lim Swee Tin) pada tahun 2007 dan Semiotik pada tahun 2008 telah diterbitkan oleh penerbit Citra Kurnia Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

Anugerah Prof. Madya Dr. Arbak Othman

Prof. Madya Dr. Arbak Othman pernah memenangi Hadiah Utama bagi Hadiah Sastera 2001 Kumpulan Utusan dalam kategori Sajak pada 4 Julai 2002 dan Hadiah Sastera Perdana Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam kategori kritikan sastera bagi tahun 2001/2002. Pada tahun yang sama iaitu tahun 2002 , beliau juga pernah memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Antologi Puisi Selangor dengan judul Wajah Kemerdekaan.

Pada bulan Mei 2004, beliau memenangi Anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi kategori Hadiah Utama Kajian Sastera 2003. Prof. Madya juga pernah memenangi hadiah utama Kencana kategori esei kritikan, anjuran DBP, Kuala Lumpur.

Prof Arbak besama buku-bukunya







Loading...
BIODATA



Namaku Siti Alifah binti Ahmad. Aku senang dipanggil E-pah di kalangan keluarga dan kawan-kawanku. Aku dilahirkan pada 29 Disember 1986 di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim tepat jam 7.07 pagi. Aku berbintang Capricorn. Alamat terkini aku ialah PT33 Taman Sri Mutiara, Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, Kelantan.

HADIS


LINK

Smiley of the Moment